21 Mei 2011

PESANKU UNTUK KALIAN


“Umi, ini untuk umi…..” tangan kakak menghulur sambil menyerahkan sekeping kertas . Zaid dan Adam tersenyum sambil menyerahkan juga sekeping kertas . Masing-masing menghasilkan kreativiti bakat melukis mereka. Tertera di dalamnya kata-kata ucapan seorang anak kecil yang gembira menyambut Hari Ibunya.
Aku sekadar mengucapkan terima kasih bagi menghargai mereka . Namun sehingga kini ibu mereka belum pun dapat menunaikan permintaan mereka. Permintaan mereka agar kad ucapan mereka dipamerkan dalam blog keluarga. Bagiku , cukuplah sekadar mereka memahami bahawa , keutamaan Hari ibu itu bukanlah pada sekeping kad dan ucapan. Malah ia lebih jauh dan lebih besar dari itu.
Ah…anak-anak !! Apa yang engkau fahami dan mengerti di saat kedewasaanmu yang belum tiba.Aku ibumu di sepanjang hidupmu hingga ke syurga. Pengasuh pembesaranmu , pendidik peribadimu,pecinta abadi untukmu.Ibulah segalanya pada setiap anak yang dilahirkan ke dunia.

Wahai insan bergelar Ibu!!
Suatu ketika nanti saat hidup membuah bahagia, kejayaan diraih, berstatus kerjaya yang baik, punya keluarga bahagia, ibumulah yang paling bahagia. Bahagia bukan kerana mengharap semua itu dari anak, tetapi bahagia dalam kepuasan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai menjaga amanah Allah.
Namun ketahuilah sekalian yang bergelar ibu ,tanggungjawab tidak berhenti sama sekali di situ.Bagaimana didikan agamanya, bagaimana pilihan calon pasangan hidupnya ,bagaimana rumahtangganya?Semuanya memerlukan kata nasihat dan panduan .Ini tidak bermakna mencampuri urusan hidup si anak, tetapi bagaimana membimbing anak itu hingga berjaya dunia akhirat. Wahai Ibu…. Tanggungjawabmu masih panjang!!

Wahai anak yang dilahirkan!!
Bagaimana ungkapan kasih ibu hingga ke syurga perlu difahami sedalamnya?Atau kata-kata biasa kita dengar syurga itu di bawah telapak kaki ibu? Ketahuilah…… sehingga ke penghujung usia , si anak akan terus menuntut kasih sayang berpanjangan dan si ibu pula menuntut perhatian mesra . Si ibu yang tua lemah tidak berdaya lagi. Nah , bagaimana nanti si anak akan menghadapi situasi ini? . Benci atau masih ada ihsan? Derhaka atau soleh yang engkau pilih?
Wahai anak!! Apakah perasaan mulia yang mesti ada pada seorang anak terhadap ibunya? Tentu hanya satu sahaja iaitu kasih sayang.Betapa besarnya nilai kasih sayang . Usahlah hendak dibandingkan dengan kekayaan dan kemewahan yang mengulit hidupmu.Lalu usah dibayar pengorbanan orang tuamu dengan kata yang menghancur hati meluluh jiwa kecilnya.

PESAN IBU
Mari fahami anakku !Hari Ibu bukan pada sambutannya, bukan pada kad ucapan dan bukan pula pada hadiah yang diberi. Saat dewasa dan kau membaca tulisan ini nanti, fahamilah sedalamnya akan pengertian seorang insan bergelar ibu!!

15 November 2010

Mengorak Langkah

Hari itu tepat pukul 8.00 pagi ,kami sekeluarga bergerak meninggalkan rumah. Destinasi kami ialah Dewan SMK Gemereh untuk menghadiri program Graduan Kecil Abim Anak 6 Tahun.Kakak kemas berpakaian serba kuning , seragam dengan kawan-kawannya yang lain.

Kami sempat bersarapan dan menu juadah kami ialah roti canai. Hampir pukul 8.45 majlis akan bermula. Ku lihat kakak telah berada di atas pentas bersama rakannya yang lain bersedia untuk menyanyikan asmaul husna sebagai pembuka majlis . Beberapa ucapan disampaikan yang sarat dengan mesej dan harapan ABIM meneruskan program dan aktivitinya di masa akan datang.

Sijil disampaikan satu persatu kepada semua graduan kecil yang siap beratur di sisi dewan, sopan mengikut tunjuk ajar guru-guru. Diselangi pula penyampaian hadiah kecemerlangan kepada pelajar terpilih dan cemerlang akademiknya. Abahnya sebagai Pengerusi BAKA turut naik ke pentas menerima cenderahati penghargaan dari taski.

Sedikit kecewa apabila kakak tidak termasuk senarai itu. Barangkali usahaku masih kurang dan tidak mencukupi untuk melihat kakak beroleh kejayaan. Kakak mendapatkanku dan aku tetap mengucapkan tahniah kepadanya memberi semangat.

Aku tidak terbawa-bawa mengikut perasaan melihatkan senarai nama pelajar cemerlang yang sebahagiannya anak rakan-rakanku. Hari yang bertuah menyebelahi mereka dan tahniah diucapkan.Sedikit perasaan membandingkan kakak dengan anak mereka tidaklah berlarutan.
Mungkin ini permulaan buat kakak untuk memulakan langkah yang seterusnya.




Ya Allah berikanku kekuatan membimbing amanah dan anugerahMu ini ya Allah.
Bimbinglah kami agar tetap berada di jalan-Mu
untuk meraih kejayaan yang Engkau redhai
di dunia dan akhirat. Amienn...



14 November 2010

2 DALAM 1


Sudah lama blog ini terbiar. Tetapi itu bukan bermakna tiada aktiviti keluarga yang boleh dikongsikan di sini. Cuma banyak ditumpukan pada blog individu. Namun saya cuba senaraikan beberapa perkara yang telah dilalui bersama sepanjang september dan oktober ini ....

September : Aidilfitri

Seperti biasa setiap tahun kami akan beraya di Kpg Bt. Anam. Ini adalah tradisi kami memandangkan ia sebenarnyalebih memudahkan. Memandangkan kampung Ummi nun jauh di Kuala Selangor, maka kami tidak perlu berulang alik supaya dapat beraya di kedua-dua tempat ini . Alhamdulillah di pagi raya kami sekeluarga bersama dapat menunaikan ibadat sunat sembahyang raya di surau.


Oktober : Kucing peliharaan kami

Pada bulan ogos kami telah didatangi seekor kucing betina yang sedang bunting pula. Zaid , Adam, Zun dan Zureen bersetuju sepakat unuk membelanya dan menamakan kucing tersebut dengan nama Belang . Pada awal puasa Belang selamat melahirkan 4 ekor anaknya yang sangat comel . Kami berempat memilih kucing masing-masing seorang satu.

3 bulan kemudian kemudian kucing kakak (Zun) dijangkiti bisul di belakang badannya menyebabkan ia menjadi berlubang. Bisul itu akhirnya pecah . Kami yang tiada pengalaman , lewat pula menghantarnya ke klinik, berbagai cara cuba mengeluarkan ulat yang sudah terlalu banyak di dalam badannya. namun tidak berhasil . Tengah malam itu abah mengatakan kucing tersebut telah mati . Keesokan paginya abah menanamnya. Sebak dan sedih juga dengan kehilangannya walau hanya beberapa bulan sahaja ia bersama kami!!

05 Julai 2010

Selamat Hari Ulangtahun Umi


Lukisan di atas adalah hasil karya Kakak.Sebenarnya keempat-empat mereka nih suka sangat melukis..kertas A4 ibunyalah jadi mangsa...kemudian kertas dan pensil warna akan bertaburan di sana sini. Ibunya yang akan kutip dan kumpul semula.....jika salah seorang dari mereka jadi pelukis terkenal , berbaloi juga...

30 Jun 2010

Selamat Hari Bapa



Lukisan ini dari Adam....yang lain tak beri apa-apa sempena hari bapa nih...mungkin mereka tak de idea...walau apa pun...lukisan Adam ni kiranya wakil untuk yang lain-lain juga...terima kasih Adam....Siap aje lukis...dia terus suruh kami masukkan dlm blog keluarga...layanlah juga...harap dah besar nanti mereka pula sambung tulis dalam blog nih...

06 Jun 2010

Kem Kepimpinan

Zaid telah menyertai kem kepimpinan anjuran sekolahnya selama 2 hari 1 malam di Kem Kersani ..Di akhir program tersebut semua peserta termasuk Zaid dikehendakki membuat akur janji untuk menunaikan solat 5 waktu dan taat kedua ibu bapa. zaid menangis ketika memberikan salam dan ciuman kepada kami ( ibu bapa dijemput hadir di akhir program tersebut) sambil menunjukkan sekeping kertas yang tercatat janji-janjinya selepas pulang ke rumah nanti...Alhamdulillah nampak sedikit perubahan sikapnya selepas menyertai kem tersebut. Apa lagi yang penting dan utama malah lebih berharga dari memiliki anak yang soleh..

04 Jun 2010

Selamat Ulangtahun Kelahiran Adik ke 5


Selamat hari lahir Adik....semoga menjadi anak yang solehah untuk Abah dan Umi.....

28 Mei 2010

Usaha tangga Kejayaan

Kakak sewaktu persembahan nasyid di Taskinya...Di hari tersebut kakak menyertai pertandingan Ayat Hafazan dan mendapat tempat ketiga.Ayat Hafazan tersebut dari surah Al-Baqarah ayat 285 .Tahniah kak....teruskan kecemerlangan.Semoga cita-cita kakak untuk menjadi doktor tercapai...kami sentiasa berada di belakang kakak.
Related Posts with Thumbnails